By Hajar Umira Md Zaki, Harian Metro Online, 15 January 2022
Kuala Lumpur: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) akan terus menggalakkan lagi usaha dalam meningkatkan kesedaran mengenai kempen derma darah kepada orang ramai.
Pengerusi Kebangsaan PBSMM Tan Sri Tunku Puteri Intan Syafinaz Sultan Abdul Halim Muadzam Shah bertitah, kempen derma darah ini adalah hasil kerjasama antara PBSMM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) bersama Persatuan Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Menerusi kempen untuk kali ini, saya berharap supaya kita dapat mencapai sasaran untuk mendapatkan 100 beg darah sehari.
“Penganjuran kempen derma darah ini diharapkan dapat memberi kesedaran dan kepentingan tanggungjawab sebagai penderma dan dapat menggalakkan lebih ramai individu untuk menderma.
“Sehubungan dengan itu, saya menyeru semua pihak supaya tampil ke hadapan untuk menderma darah kerana darah yang didermakan mungkin dapat menyelamatkan nyawa seseorang,” titah Tunku Puteri Intan Syafinaz.
Tunku Puteri Intan Syafinaz bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Pungutan Derma Bantuan Banjir dan Program Derma Darah Anjuran PBSMM WPKL di Pusat Beli Belah Plaza Damas, Sri Hartamas di sini, hari ini.
Hadir sama Naib Pengerusi Kebangsaan merangkap Pengerusi PBSMM WPKL Datuk Seri Suhaimi Yacob, Setiausaha Agung PBSMM Hakim Hamzah, Pengarah Urusan Kumpulan Mayland Group Datuk Kevin Woo dan Pengarah Perniagaan Runcit dan Jualan Hartanah Antarabangsa Mayland Pel Loh.
Sementara itu, PBSMM WPKL turut menerima sumbangan daripada Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd berjumlah RM66,566 serta Mayland Group sebanyak RM5,000 sebagai tanda kerjasama mereka dalam membantu mempercepatkan proses pemulihan kepada mangsa banjir di setiap negeri yang terkesan, bermula hari ini.
Menurut Kevin, pihaknya menjadikan pusat beli belah Hartamas sebagai pusat pengumpulan sumbangan kepada mereka yang ingin memberikan sumbangan kepada mangsa banjir.
Malah, mereka turut menempatkan kiosk di luar pusat beli belah bagi memudahkan pemberian sumbangan secara pandu lalu.
“Menerusi kerjasama bersama PBSMM ini, kami berharap pusat beli belah Hartamas bukan sahaja dipandang sebagai pusat beli belah biasa, namun ia adalah pusat beli belah untuk komuniti,” katanya.
Disiarkan pada: Januari 15, 2022 @ 4:36pm
Source: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/01/800312/pbsmm-galakkan-usaha-derma-darah